fbpx
Ahmad Zahid (empat dari kiri) menyampaikan raplika cek keuntungan boleh agih akhir projek peserta-peserta Felcelra tahun 2025 kepada wakil peserta pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Bagan Datuk hari ini. -Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

Agihan akhir keuntungan P&P Felcra RM302.9 juta, prestasi terbaik dalam 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

BAGAN DATUK – Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM302,912,987 melibatkan 71,680 peserta di seluruh negara.

Pengumuman tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk hari ini.

“Saya dengan ini mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) FELCRA Berhad bagi tahun kewangan 2025 berjumlah
RM302,912,987.

“Agihan keuntungan ini akan memberi manfaat kepada 71,680 orang peserta di seluruh Malaysia, melibatkan 748 buah projek yang mencatat keuntungan.

“Tahniah kepada Felcra atas kejayaan melakar prestasi terbaik dalam tempoh 15 tahun, dan yang kedua tertinggi dalam sejarah Felcra sejak penubuhannya pada 1966,” katanya di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi lebih bermakna ketika Felcra meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-60 sekali gus menjadi lambang kegigihan berterusan dalam memakmurkan masyarakat luar bandar

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan agihan keuntungan 2025 sebanyak RM632,757,777 yang merangkumi agihan interim, agihan bulanan dan agihan akhir kepada peserta.

“Pengumuman yang dibuat sebelum sambutan Aidilfitri ini membawa khabar gembira kepada para peserta Felcra dalam membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya.

Katanya, prestasi kukuh itu didorong oleh peningkatan harga komoditi dan pengukuhan produktiviti ladang khususnya kelapa sawit.

“Purata harga Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada 2024 kepada RM4,283.33 pada 2025, iaitu kenaikan sebanyak 2.42 peratus, dengan lonjakan ketara 23.7 peratus dicatatkan pada Januari 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Harga BTS keseluruhan turut meningkat daripada RM794 kepada RM850 satu tan, bersamaan kenaikan 7 peratus,” katanya.

Mohamed Ismi berkata, dari segi produktiviti, hasil perhektar ladang meningkat daripada 17.02 tan metrik sehektar kepada 18.15 tan metrik sehektar, iaitu pertumbuhan 6.6 peratus.

“Pendapatan kasar per hektar turut bertambah daripada RM13,280 kepada RM15,039, manakala keuntungan bersih per hektar melonjak daripada RM4,462 kepada RM5,893, mencatat peningkatan signifikan sebanyak 32.1 peratus.

“Walaupun terdapat peningkatan kos pengurusan secara sederhana, kadar pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi telah memperkukuh margin keuntungan keseluruhan projek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI