JOHOR BAHRU – Sebanyak sembilan tan longgokan sampah sarap dan barangan lusuh di rumah seorang warga emas di Taman Sentosa di sini berjaya dibersihkan kelmarin.
Ahli Majlis MBJB kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying, berkata kerja-kerja pembersihan itu membabitkan 10 pekerja pembersihan, tiga unit tong roro dan sebuah jengkaut.
“Kerja-kerja pembersihan mengambil masa kira-kira tiga jam bagi membawa keluar sampah sarap, barangan lusuh dan terpakai dari rumah warga emas itu.
“Kita juga mendapat bantuan daripada polis bagi memastikan warga emas ini tidak mengganggu ketika kerja-kerja pembersihan ini dijalankan,” katanya di sini.
Beliau berkata, pihaknya pernah mencadangkan agar warga emas berusia 74 tahun dan tinggal seorang diri itu berpindah ke rumah orang-orang tua namun ditolak lelaki itu.
Justeru, beliau berharap agar warga emas itu dapat meninggalkan tabiat mengumpul barangan lusuh dan terpakai itu selepas ini.
Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak memberikan barangan terpakai mereka kepada warga emas itu lagi bagi mengelakkan rumah itu kembali dilonggoki sampah sarap.
Terdahulu, media melaporkan rumah warga emas dipenuhi sampah sarap setinggi pagar meskipun telah dibersihkan kira-kira tujuh bulan lalu.
Tabiat warga emas yang telah berlarutan sejak 30 tahu lalu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat setempat yang khuatir ia menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Difahamkan, warga emas itu mempunyai tiga anak yang kini menetap di Singapura manakala isterinya yang berasal dari Taiwan telah pulang ke negara asalnya.-KOSMO! ONLINE














