fbpx
LIMA lagu raya paling sensasi namun dalam masa sama menerima banyak respons negatif daripada khalayak.

5 lagu raya paling sensasi, tular, teruk dikutuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali Ramadan menjelang, industri hiburan pasti dibanjiri karya baharu bertemakan Aidilfitri. Ada mencuit hati, ada mengusik emosi, namun tidak kurang juga mencetus sensasi dan polemik.

Hakikatnya, lagu raya bukan semata-mata hiburan bermusim, malah cerminan sensitiviti budaya, agama dan norma masyarakat.
Namun apabila garis halus itu disentuh, reaksi awam pantas berubah menjadi perdebatan panjang.

Media sosial mempercepatkan gelombang kecaman dan dalam sekelip mata, karya boleh diangkat sebagai fenomena atau dihukum tanpa belas ihsan.
Gala minggu ini menyorot lima lagu raya tempatan paling kontroversi, pernah mencetus perbincangan hangat dan meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah muzik sempena Syawal.

Gedik Gedik Raya – Ifa Raziah

Dilancarkan pada Februari 2026, Gedik Gedik Raya nyanyian Ifa Raziah segera mengundang perdebatan hangat. Satu babak visual dalam video muzik didakwa memaparkan bahagian belakang tubuhnya secara menonjol hingga dianggap tidak sopan.

Pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha itu menegaskan babak berkenaan menggunakan imej CGI serta suntingan demi kesan artistik. Penjelasan tersebut bagaimanapun tidak sepenuhnya meredakan kritikan umum. Isu double standard turut dibangkitkan apabila Ifa sendiri berasakan karya lain lebih berani, namun tidak pula menerima kecaman setara.

Kelepok Raya – Datuk Seri Aliff Syukri

Dilancarkan pada 2022, Kelepok Raya menjadi antara kes paling sensasi apabila membawa usahawan Datuk Seri Aliff Syukri ke mahkamah.
Video muzik memaparkan penari lelaki bersolek dengan aksi dianggap keterlaluan hingga mencetus tuduhan mempromosi elemen LGBT.
Kandungan tersebut didakwa mencemari kesucian Ramadan serta Aidilfitri. Reaksi keras bukan sahaja datang daripada netizen, malah ahli keluarga sendiri tampil menegur secara terbuka.
Kes berlarutan hampir tiga tahun sebelum Mahkamah Sesyen Sepang melepas dan membebaskan Aliff daripada pertuduhan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia pada Ogos 2025.
Biarpun berakhir dengan pembebasan, Kelepok Raya kekal tercatat sebagai antara lagu raya paling kontroversi dalam sejarah hiburan tempatan.

Lala Raya – Agy

Tahun 2026 menyaksikan giliran lagu Lala Raya nyanyian pempengaruh media sosial, Agy meledak tular sebelum dihujani kecaman. Poster serta satu babak meja makan dalam video muzik didakwa menyerupai lukisan ikonik The Last Supper karya Leonardo da Vinci.
Dakwaan persamaan tersebut mengundang kemarahan netizen kerana dianggap tidak sensitif, lebih-lebih lagi dilancarkan dalam bulan Ramadan.
Data analitik media sosial menunjukkan sentimen negatif mencecah 95 peratus, menandakan gelombang bantahan luar biasa. Selain isu visual, kualiti vokal pemilik nama sebenar Muhammad Affizy Mohd Khairy itu turut dipersoal. Teknik falsetto serta nada tinggi menerima kritikan pedas hingga ada menyamakan bunyinya dengan hon kenderaan berat.
Susulan kontroversi, video asal diturunkan daripada YouTube sebelum dimuat naik semula dalam versi suntingan tanpa babak sensitif.
Grafik muka hadapan juga turut diganti di platform penstriman, manakala pihak produksi menjelaskan konsep asal sekadar satira sosial.

Alamak Raya Lagi! – De Fam

Tahun 2024 menyaksikan Alamak Raya Lagi! nyanyian De Fam mendominasi carta serta platform digital. Lagu rancak itu bagaimanapun menerima kritikan akibat lirik dianggap bernada keluhan terhadap sambutan Aidilfitri. Ada pihak berpendapat perkataan ‘alamak’ memberi konotasi negatif dan tidak mencerminkan semangat kesyukuran. Lirik mengenai persiapan saat akhir turut dikaitkan dengan budaya kelam-kabut masyarakat. Kontroversi bertambah apabila lagu tersebut digunakan dalam trend tarian antarabangsa dengan gaya busana kurang sopan, mencetus rasa kurang selesa banyak orang.

Serumpun – Mimifly

Mac 2025 menyaksikan lagu Serumpun nyanyian Mimifly menjadi bualan hangat. Penampilan berkemban dalam video muzik mengundang kritikan kerana dianggap tidak sesuai dengan suasana Ramadan.
Kritikan turut datang daripada tokoh agama dan ahli politik, mempersoal mesej serta visual persembahan. Tarian dalam video juga didakwa menyerupai elemen ritual agama lain, sekali gus menambah polemik.
Susulan teguran, video asal diturunkan sebelum dimuat naik semula dalam versi lebih sopan, malah pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu mengakui kekhilafan serta memohon maaf atas keterlanjuran sensitiviti. Menariknya, selepas suntingan semula, lagu tersebut melonjak popular dan meraih jutaan tontonan, menjadi trending dan membuktikan kontroversi kadangkala menjadi pemangkin fenomena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI