fbpx
Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah (kiri) bersama Wen Yew melancarkan kempen Seindah Corak Aidilfitri di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya baru-baru ini.

Warisan songket, batik dan tenun jadi inspirasi Aidilfitri di Sunway Carnival

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Pusat beli-belah terkemuka, Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya, di sini mengajak pengunjung menghayati keindahan warisan tekstil Melayu menerusi kempen Seindah Corak Aidilfitri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kempen yang berlangsung dari 27 Februari hingga 29 Mac itu menampilkan interpretasi moden seni tekstil tradisional seperti songket, tenun, batik dan tekat yang digabungkan dengan elemen ilustrasi kontemporari bagi mewujudkan suasana perayaan yang unik serta penuh makna.

Gabungan motif simbolik, corak yang mengalir serta penggunaan warna-warna ceria menjadikan ruang pusat beli-belah berkenaan tampil dengan pengalaman raya yang lebih interaktif dan berteraskan budaya.

Dekorasi sempena kempen Seindah Corak Aidilfitri di Sunway Carnival Mall.

Rekaan visual yang diinspirasikan daripada seni batik dipaparkan di seluruh ruang pusat beli-belah, seolah-olah menceritakan kisah nilai-nilai Aidilfitri seperti kekuatan, keikhlasan, keharmonian serta kepentingan hubungan dalam komuniti.

Kesemua elemen ini mewujudkan pengalaman perayaan yang meriah tetapi dekat di hati, sekali gus mencerminkan semangat Aidilfitri yang bukan sekadar disaksikan, tetapi turut dirasai.

Pekerja DeBorneo Cakery Enterprise, Nur Sheera Athirah Halim menghias hamper kuih raya dibawah harga RM100 pada jualan Agrofiesta Aidifitri di Sunway Carnival Mall.

Pengurus Besar Kanan Sunway Carnival Mall, Chai Wen Yew berkata, Aidilfitri juga melambangkan makna ‘pulang ke rumah’ iaitu kembali kepada keluarga, nilai dan tradisi yang membentuk identiti masyarakat.

Menurutnya, antara tarikan utama kempen tersebut ialah projek ‘A Story in Every Motif’, iaitu kolaborasi antara Sunway Malls dan Sunway University yang menampilkan pengalaman Augmented Reality (AR) bagi memperkenalkan warisan tekstil tradisional Melayu kepada pengunjung.

“Projek penyelidikan kreatif ini diketuai oleh pensyarah kanan yang memenangi pelbagai anugerah, Delas Santano dan Maslisa Zainuddin, menggabungkan elemen pendidikan, budaya dan teknologi dalam satu pengalaman interaktif.

“Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4, 11 dan 17) dengan mengetengahkan nilai budaya serta warisan melalui pendekatan yang lebih moden,” katanya.

Gabungan motif simbolik, corak yang mengalir serta penggunaan warna-warna ceria menjadikan ruang di Sunway Carnival Mall lebih meriah dengan suasana Aidilfitri.

Kempen berkenaan turut diperkaya dengan kolaborasi bersama artisan batik terkenal dari Kelantan, Tipah Jusoh dan Darus Idris, pasangan suami isteri yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam seni kraf batik.

Karya mereka yang diinspirasikan daripada warisan Pantai Timur menggabungkan motif tradisional Kelantan dengan sentuhan moden, sekali gus menghasilkan tekstil yang sarat dengan nilai budaya dan keindahan seni.

Melalui sentuhan mereka, pengunjung berpeluang menghayati batik bukan sekadar sebagai elemen dekorasi, tetapi sebagai satu bentuk seni yang hidup.

Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk mencanting batik.

Secara keseluruhannya, kempen Seindah Corak Aidilfitri direka sebagai pengalaman pelbagai deria yang membolehkan pengunjung meneroka ruang pusat beli-belah tersebut sambil menikmati pelbagai elemen budaya, peluang bergambar serta aktiviti menarik sepanjang tempoh kempen berlangsung. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI