fbpx
PARA pemain JDT meraikan kemenangan selesa 3-1 ke atas Sanfrecce pada aksi pertama pusingan 16 ACLE kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

Tugas JDT masih belum selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memberi amaran buat para pemainnya supaya jangan alpa dengan kejayaan menjinakkan gergasi Jepun, Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) kelmarin.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, tugasan mereka belum selesai kerana perlu mengharungi tempoh 90 minit di Stadium Bola Sepak Hiroshima pada Rabu ini.

“Kemenangan di laman sendiri (Stadium Sultan Ibrahim) amat bermakna buat kami setelah pemain mempamer corak permainan berintensiti tinggi dan memukau mengikut taktikal yang telah direncanakan.

“Kita boleh menang dengan jaringan lebih besar, namun peluang keemasan tidak disudahkan dengan baik oleh Nacho (Mendez) dan Joao (Figueiredo) setelah percubaan dilakukan sekadar menggegar tiang dan palang gol lawan.

“Kami tidak boleh terlalu gembira kerana Sanfrecce berjaya mengurangkan defisit gol dan pastinya mereka akan lebih berwaspada aksi timbal balik di Hiroshima minggu depan,” katanya.

Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme meledak satu gol sementara Sanfrecce berjaya merapatkan defisit gol hasil jaringan sendiri Nene di penghujung permainan.

Menurut Munoz, barisan benteng pertahanan yang ditunjangi Eddy Israfilov cukup berkesan apabila merantai pasukan lawan daripada melakukan serangan berbahaya ke kubu JDT.

“Walaupun ada beberapa detik cemas yang dihasilkan pasukan lawan termasuk dalam situasi bola mati namun benteng pertahanan JDT tangkas mengeluarkan bola dari zon bahaya itu.

“Kita akan berusaha mengekalkan momentum permainan ini menjelang aksi kedua nanti dan akan lebih berhati-hati dan tidak leka sehingga membenarkan lawan mencipta jaringan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI