NILAI – Kejadian banjir kilat yang melanda Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai (arah selatan) petang semalam disifatkan paling buruk dalam tempoh lebih 30 tahun oleh seorang peniaga di situ.
Pemilik kedai serbaneka, Ee Kuang Kow, 59, berkata, sepanjang lebih tiga dekad berniaga, banjir kali ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku sehingga air melimpah masuk ke dalam premis dengan paras mencecah hampir 0.6 meter.
“Sepanjang lebih 30 tahun berniaga di sini, kejadian banjir semalam paling teruk. Sebelum ini pernah juga banjir, tetapi air hanya naik di bahagian luar premis sahaja. Kali ini air masuk ke dalam kedai dengan cepat sehingga menenggelamkan sebahagian kawasan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kuang Kow berkata, walaupun terdapat anak sungai di belakang premis, banjir kali ini dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan pembangunan di hadapan R&R di bahagian selatan.
Sementara itu, pekerja premis serbaneka, Mohamad Faizul Ikman, 31, berkata, air banjir berwarna coklat mengalir deras ke dalam premis secara tiba-tiba sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan banyak barangan.
Menurutnya, air mula surut kira-kira setengah jam selepas kejadian, namun lantai premis dipenuhi lumpur tebal sehingga menyukarkan kerja pembersihan.
Semalam hujan lebat telah menyebabkan kawasan R&R Nilai dilanda banjir kilat termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan sehingga mengakibatkan ratusan pemandu terkandas sejauh 12 kilometer ketika waktu berbuka puasa. – KOSMO! ONLINE














