BATU PAHAT – Tindakan seorang lelaki menanam janin bayi secara rahsia di sebuah kebun milik keluarganya akhirnya terbongkar selepas teman wanitanya mendapatkan rawatan di hospital akibat sakit belakang.
Suspek berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pekerja pelabuhan di Johor Bahru direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nurasidah A. Rahman selepas polis menahan lelaki terbabit bagi menyiasat tindakannya yang dipercayai cuba menyembunyikan kelahiran.
Menurut sumber, kejadian itu terbongkar selepas teman wanita suspek yang berusia 25 tahun mendapatkan rawatan di sebuah hospital di daerah ini selepas mengadu mengalami sakit belakang yang teruk.
Semasa pemeriksaan dilakukan, doktor mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sebelum wanita berkenaan akhirnya mengakui telah menggugurkan janin yang dikandungnya.
Siasatan awal mendapati wanita itu menggugurkan janin berusia kira-kira 17 minggu selepas dipercayai memakan ubat yang dibeli secara dalam talian di sebuah rumah di daerah ini.
Selepas janin itu keluar, suspek dipercayai mengambilnya sebelum membawa ke sebuah kebun milik ahli keluarganya.
Lelaki itu kemudian menggali lubang dan menanam janin berkenaan pada kira-kira pukul 3 petang minggu lalu tanpa pengetahuan sesiapa.
Tidak cukup dengan itu, beberapa ketulan darah dipercayai saki-baki daripada kejadian tersebut turut ditanam di belakang rumah pada kira-kira pukul 8 malam.
Difahamkan, tindakan tersebut dilakukan secara senyap tanpa disedari oleh ahli keluarga yang tinggal bersama suspek di rumah berkenaan.
Bagaimanapun, rahsia pasangan itu akhirnya terbongkar selepas pihak hospital membuat laporan kepada polis berhubung keadaan mencurigakan yang dialami wanita tersebut.
Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan niat menghalang bayi daripada dilahirkan hidup serta Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan bahan bukti.-KOSMO! ONLINE














