fbpx
RAJA ARSHAD bergambar bersama anak yatim dan pelajar Celik Madani pada Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB di Masjid Al‐Sultan Abdullah, semalam.

PNB raikan Ramadan bersama komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) meneruskan komitmen jangka panjangnya dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui penganjuran Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB yang berlangsung di Masjid Al‐Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 semalam.

Majlis tersebut meraikan 66 orang anak yatim daripada beberapa rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang serta 50 pelajar Celik Madani, iaitu program literasi kewangan di bawah kelolaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Penyertaan pelajar Celik Madani pada tahun ini adalah yang pertama sejak program berkenaan dilancarkan, sejajar dengan usaha PNB untuk memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan belia Malaysia.

Sebagai pengisian program, anak-anak dan pelajar dibawa melawat kawasan sekitar Presint Merdeka 118, termasuk lokasi bersejarah seperti Stadium Merdeka.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap sejarah negara serta menghargai perjalanan Malaysia menuju sebuah negara berdaya tahan dan berdaya saing.

PNB turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM250 kepada setiap peserta merangkumi RM100 tunai, RM100 dikreditkan terus ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), dan cenderamata daripada PNB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, dalam ucapannya menekankan kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan untuk memperkukuh nilai empati, kepedulian sosial dan tanggungjawab bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha PNB bukan terhad kepada sokongan jangka pendek, tetapi bertujuan membina asas kemerdekaan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Jika dahulu kemerdekaan itu bermaksud kebebasan daripada penjajahan, hari ini kita bercakap tentang satu lagi bentuk kemerdekaan, iaitu kemerdekaan kewangan.

“Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, kami bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada anak-anak sekalian,” katanya.

Tahun lalu, PNB telah menyalurkan sejumlah RM68 juta bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan pelaburan sosial di seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 760,000 rakyat Malaysia merentasi pelbagai komuniti. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI