KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara apabila mencapai RM426.7 bilion pada tahun 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 8,390 projek pelaburan telah diluluskan sepanjang tahun lalu yang berpotensi mewujudkan kira-kira 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pelaburan domestik kekal kukuh dengan nilai RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.
“Pada masa sama, pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha bersepadu seluruh jentera Kerajaan Madani dengan peranan penting dimainkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mempergiat usaha menarik dan merealisasikan pelaburan.
Tambahnya, setiap pelaburan yang diluluskan bukan sekadar angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kemakmuran kepada rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus bekerja keras bagi memastikan manfaat daripada pelaburan tersebut dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara ini. – KOSMO! ONLINE














