fbpx
Siti Aishah (kanan) dan suaminya, Rusdi menunjukkan gambar kenangan tiga arwah anaknya ketika ditemui selepas berbuka puasa bersama Kamal Affandi di Kuala Terengganu semalam.

Luka tiga anak dibunuh belum terubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Biarpun sudah 13 tahun berlalu, luka hati pasangan Siti Aishah Ariffin, 53, dan Rusdi Rani, 51, yang kehilangan tiga anak sekali gus dalam pembunuhan kejam di Langgar, Kedah pada 2013 masih belum sembuh.

Siti Aishah berkata, kesedihan kematian Puteri Nurul Akma, Nur Izzati Husna dan Noor Syafikah Nadia yang ketika kejadian berusia 3, 12 dan 14 tahun makin terasa setiap kali ketibaan bulan Ramadan dan Syawal.

“Peristiwa hitam itu membawa kami mengambil keputusan berpindah dari Kampung Alor Senibong, Langgar, Kedah ke Kampung Baru Tok Dor, Besut sejak 11 tahun lalu.

“Kami berpindah kerana tidak mampu lagi menanggung beban emosi berada di rumah lama yang sarat dengan kena­ngan bersama arwah anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Terdahulu Siti Aishah dan Rusdi dijemput berbuka puasa oleh penganalisis jenayah ter­kenal, Kamal Affandi Hashim.

Siti Aishah berkata, biarpun sudah berpindah jauh, dia me­ngakui kenangan dan keletah anak-anak tetap menghantui fikiran mereka suami isteri.

Katanya, dia dan suami masih teringat-ingat makanan kegemaran arwah anak-anaknya ketika berbuka puasa dan raya seperti sup dan singgang ikan serta rendang.

“Kenangan siapkan kelengkapan raya bersama anak-anak sangat menyakitkan. Bagi kami kehadiran Aidilfitri sudah tiada makna.

“Kami juga masih dihantui persoalan apakah motif sebenar anak jiran kami itu membunuh Noor Syafikah Nadia dan adik-adiknya,” katanya.

Siti Aishah berkata, kalau boleh, dia mahu bersemuka de­ngan pembunuh anaknya tersebut untuk meleraikan persoalan tersebut.

Katanya, tambah membuatnya terluka, dia dan suami tidak pernah bertemu mahupun menerima permohonan maaf daripada pembunuh anaknya sepanjang dua tahun prosiding kes berlangsung di mahkamah.

“Saya dimaklumkan pembunuh anak-anak kami telah meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas mendapat pembebasan awal dari penjara.

“Berita itu dimaklumkan ibu lelaki tersebut baru-baru ini. Dia yang juga jiran selang beberapa rumah kami di Kedah dahulu barulah memohon maaf bagi pihak arwah anaknya,” katanya.

Sementara itu, Kamal Affandi berkata, beliau masih tersentuh dengan pasangan Siti Aishah dan Rusdi yang masih trauma dengan insiden hitam berlalu pada tahun 2013.

“Tambah buat saya terharu, pasangan suami isteri tersebut memberitahu mereka tidak pernah berbuka di luar (rumah) sejak kehilangan anak-anak.

“Kita perlu membantu mereka keluar daripada trauma. Apatah lagi saya dimaklumkan Rusdi kini tidak dapat bekerja sejak tujuh bulan lalu ekoran masalah saraf mata,” katanya.

Dalam kejadian pada 30 November 2013, negara digemparkan dengan penemuan mayat Noor Syafikah Nadia di kawasan sawah padi terbiar di Kampung Alor Senibong, manakala dua adiknya dalam terusan akibat dibunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN