KUALA LUMPUR – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bersama rakan strategiknya menyalurkan sumbangan keseluruhan lebih RM100,000 kepada Sekolah Tahfiz & Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).
Sumbangan tersebut diberikan sebagai usaha menyantuni kebajikan serta menyokong pembangunan pendidikan 84 pelajar STAY ATM yang terdiri daripada anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sumbangan yang disalurkan bukan sekadar bantuan kewangan, malah mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pendidikan dan masa depan anak-anak warga ATM.
“Usaha seperti ini amat penting bagi memastikan kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar terus diberi perhatian, sekali gus membantu mereka mencapai kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan yang berlangsung di STAY ATM, Sungai Besi hari ini.
Antara sumbangan yang disampaikan ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Desatera Sdn. Bhd. sebanyak RM21,000 kepada STAY ATM.
Selain itu, Sun Life Malaysia Takaful Berhad turut menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM10,000 kepada institusi berkenaan bagi menyokong kebajikan para pelajar.
Yayasan LTAT pada masa sama turut menyumbangkan dana CSR pendidikan sebanyak RM10,000 kepada STAY ATM sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan yayasan tersebut dalam memperkasa pembangunan pendidikan anak-anak warga ATM.
Dalam majlis sama, IRAT Hotel & Resort turut menyampaikan sumbangan CSR berjumlah RM73,200 kepada Yayasan LTAT bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan serta kebajikan yang dilaksanakan oleh yayasan berkenaan.
Turut disampaikan ialah sumbangan bahan bacaan ilmiah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada STAY ATM bagi memupuk minat membaca serta memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan pelajar.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tahfiz Muda kepada pelajar STAY ATM, Wan Ahmad Amsyar Wan Amir Zaki yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia muda, selain menerima sumbangan RM1,000 daripada Yayasan LTAT sebagai tanda penghargaan.
Dalam majlis sama, Yayasan LTAT bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad turut menyampaikan duit raya serta baju raya kepada para pelajar bagi menyemarakkan sambutan Ramadan. – KOSMO! ONLINE














