fbpx
Berkisar tentang keagamaan yang memfokuskan susuk bernama Gus Jafran, Jangan Panggil Aku Gus merupakan satu lagi projek Erma Fatima yang mendapat tempat di Indonesia selepas Bidaah.

Jangan Panggil Aku Gus meledak di Indonesia, ramai panas punggung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Drama terbaharu arahan Erma Fatima, Jangan Panggil Aku Gus, menerima sambutan luar biasa di Indonesia sehingga tular di seluruh gelanggang media sosial di negara itu.

Ramai dalam kalangan netizen Indonesia memuji ketelusan karya terbabit sehingga mereka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 58, kerana berani membentangkan realiti.

“Sungkem (sujud) buat yang bikin karya ini. Sampai ada yang protes, maksudnya apa kalian semua,” demikian kapsyen sepotong video viral di TikTok.

Menjengah ruangan komen, ramai yang bersetuju adegan-adegan yang dijayakan dalam naskhah terbabit bukan asing di Indonesia kerana pernah terjadi di sana.

Antara babak dijayakan pelakon utama Bara Valentino dengan aktres Indonesia, Anna Jobling dalam Jangan Panggil Aku Gus.

Kendatipun, ada juga yang berpendapat drama tersebut mungkin menyebabkan protes atau demonstrasi kerana dikatakan menyindir golongan-golongan tertentu.

“Filem dari (pengarah) Malaysia tentang realiti di Indonesia — kombinasi yang sempurna.

“Angkat kisah benar sangat ini. Adakah karya ini akan didemo (protes)? Ada yang berani. Para gus-gus dan habib-habib pasti tidak suka sama cerita ini.

“Normalisasikan karya-karya sebegini — bukan filem-filem anak SMP sudah pandai berpacaran (bercinta),” demikian antara komen pengguna media sosial pada video terbabit.

Dalam video tersebut, diperlihatkan watak utamanya iaitu seorang pendakwah, Gus Jarfan merokok dan berjoget di majlis ilmu, menerima layanan seperti seorang selebriti dan tidak memberi nafkah kepada isteri yang sedang hamil.

Drama yang dijangka mencetuskan perbincangan hangat serantau, Jangan Panggil Aku Gus disiarkan secara rasmi di aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac 2026.

Sebuah naskhah berani yang mengangkat realiti penyalahgunaan agama ke layar digital, karya ini mengangkat sebuah kisah yang bukan sekadar rekaan dramatik, tetapi diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku dalam masyarakat.

Drama ini membawa penonton menyelami isu bagaimana agama boleh disalahgunakan demi kepentingan peribadi dan keistimewaan dan “privilege” pada nama serta keturunan.

Selain itu, turut dirungkai elemen cinta yang menjadi korban kepada nafsu dan kuasa serta bagaimana kebenaran akhirnya tidak mampu disembunyikan.

Selepas hampir 10 tahun tidak turun ke set sebagai pengarah sepenuhnya, Erma Fatima kembali ke lapangan dengan mengarahkan sendiri naskhah ini — sebuah karya yang disifatkan antara yang paling berani dalam perjalanan seni beliau.

Jangan Panggil Aku Gus turut menampilkan gabungan pelakon papan atas dari Malaysia dan Indonesia iaitu Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida, Vanida Imran dan ramai lagi sekali gus menjadikan drama ini sebuah projek rentas negara yang membawa nuansa budaya dan sensitiviti serantau. –  KOSMO! ONLINE

Jangan Panggil Aku Gus merupakan projek usahasama antara Malaysia dan Indonesia yang kini disiarkan menerusi platform Karya Reels.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI