KUALA NERANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengingatkan usahawan agar tidak menyalahgunakan premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) milik agensi itu termasuk menyewakan semula kepada pihak lain.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini pihaknya memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta untuk menaik taraf premis IKS, sekali gus memberi manfaat kepada 320 usahawan di seluruh negeri.
Katanya, KEDA menawarkan premis pada kadar sewa lebih rendah berbanding tempat lain, namun dalam dunia perniagaan tetap ada pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi.
“Kita menasihatkan usahawan yang mengambil (menyewa) premis IKS KEDA ini supaya tidak menyewakannya kepada orang lain. Kita berharap pemilik itu sendiri yang berniaga di situ kerana mereka menandatangani kontrak tertentu.
“Memang ada insiden seperti ini dan kita panggil untuk pemeriksaan. Kadang-kadang kita simpati juga tetapi kalau buat dua atau tiga kali, KEDA terpaksa ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Iftar Perdana KEDA dan Serahan Gerai di Desa KEDA Kubang Kenyeng, Naka, di sini malam tadi.
Mahdzir berkata, tindakan tegas itu perlu bagi memastikan premis IKS digunakan sepenuhnya oleh usahawan untuk menjana pendapatan dan mengukuhkan ekonomi mereka, bukannya oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Menurutnya, inisiatif mewujudkan premis IKS itu bertujuan memberi ruang kepada usahawan berkembang sebelum berdikari dengan memiliki harta sendiri.
“Kebiasaannya mereka berada di situ tiga hingga empat tahun dan apabila perniagaan sudah membesar serta merasakan tidak layak lagi berada di situ, mereka berniaga di tempat lain,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini premis berkenaan merangkumi 180 lot bangunan industri di Taman IKS serta 338 lot premis niaga, termasuk kedai di Desa KEDA Kubang Kenyeng. – KOSMO! ONLINE














