fbpx
PARA pemain skuad negara meraikan kemenangan bersejarah ke atas Kanada dalam aksi Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 awal pagi semalam. - FIH

Peluang Tigress ke Piala Dunia kembali terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD hoki wanita negara melaungkan kebangkitan penuh bergaya apabila membelasah Kanada 6-1 dalam aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Dunia Hoki Wanita 2026 di Santiago, Chile awal pagi semalam.

Ledakan enam gol itu bukan sekadar tiga mata berharga, sebaliknya isyarat jelas Malaysian Tigress enggan terus dibayangi kekecewaan selepas tumbang 0-5 kepada Ireland pada aksi pembukaan.

Anak-anak buah Nasihin Nubli Ibrahim mempamerkan wajah berbeza dengan lebih tersusun, pantas dan klinikal di depan gol apabila membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin.

Kanada sempat mencuri tumpuan apabila menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan padang Chloe Walton, namun gol itu seolah-olah menyemarakkan lagi api kebangkitan skuad negara.

Nur Afiqah Syahzani Azhar muncul nadi serangan apabila meledak dua gol padang pada minit ke-20 dan ke-28 untuk membawa Malaysia mendahului 3-1 sebelum rehat, sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Bersambung babak kedua, Tigress terus mengasak apabila Zati Alyani Muhammad Zubir menambah jaringan pada minit ke-36 sebelum dua lagi pukulan sudut penalti disempurnakan Nuramirah Shakirah Zulkifli (m-39) dan Fatin Shafika Mahd Sukri (m-46).

Lebih manis, kemenangan itu menamatkan kemarau lima pertemuan tanpa kemenangan ke atas Kanada, sekali gus menebus kekecewaan kekalahan 0-3 kepada lawan sama tahun lalu.

Mengulas aksi seterusnya menentang Jepun, Nasihin menegaskan tempoh rehat akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk analisis terperinci bagi memastikan pasukan tampil lebih bersedia.

“Kita akan lihat semula video perlawanan mereka. Jepun pasukan pilihan, tetapi kita tidak akan beri laluan mudah dan mahu tampil lebih baik,” ujarnya.

Ketika ini, Ireland menerajui kumpulan dengan enam mata, manakala Jepun dan Malaysia berkongsi tiga mata, menjadikan pertemuan penting sebagai perlawanan hidup mati buat Tigress dalam misi memburu tiket ke separuh akhir.

Sebagai rekod, Jepun sering muncul sebagai lawan yang sukar buat Tigress selepas kali terakhir menewaskan skuad negara 4-1 pada Trofi Juara-Juara Asia 2024 dengan kemenangan terakhir Malaysia ke atas lawan itu direkodkan pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN