PETALING JAYA – Beberapa negara Asia dan Asia Barat mencatat peningkatan ketara ketibaan pelancong ke Malaysia bagi tempoh 2025 hingga awal tahun ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, trend positif itu didorong oleh pengukuhan sambungan penerbangan antarabangsa, kemudahan perjalanan dan usaha promosi pelancongan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Sebelum ini, Malaysia merekodkan seramai 42.2 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya melepasi paras sebelum pandemik Covid-19.
Berdasarkan data terkini, beberapa negara mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong yang ketara ke Malaysia antaranya India, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Arab Saudi, Turkiye, United Kingdom, Australia dan Taiwan.
King Sing berkata, pengukuhan rangkaian penerbangan antara Malaysia dan China dijangka terus merancakkan aliran pelancong kedua-dua negara.
“Pertambahan laluan dan kekerapan penerbangan Malaysia dan China akan memudahkan pergerakan pelancong serta meningkatkan jumlah ketibaan pelawat dari negara tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dasar kemasukan tanpa visa turut memainkan peranan penting bagi menarik lebih ramai pelancong dari pasaran utama seperti China dan India.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong, malah meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia,” ujarnya.
Kementerian optimis bahawa peningkatan sambungan udara dan kemudahan perjalanan itu mampu membantu negara mencapai sasaran 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa menjelang TMM2026. – KOSMO! ONLINE














