fbpx
Tangkap layar video tular keadaan seorang lelaki terlentang di atas jalan dengan dikaitkan dengan kes tembakan di Taman Seri Kapar, Klang pagi tadi.

Dua penembak cedera dirempuh pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tindakan dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori berakhir dengan kedua-dua mereka cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Taman Seri Kapar, Klang dekat sini pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi apabila dua suspek tersebut melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum ia disaksikan sebuah lagi kenderaan yang berada di lokasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kenderaan tersebut kemudian merempuh motosikal suspek sehingga menyebabkan kedua-dua lelaki tersebut cedera.
“Saya sahkan kejadian melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah pemandu lori.

“Ekoran kejadian itu, terdapat sebuah kenderaan lain yang melihat insiden tersebut sebelum merempuh motosikal suspek sehingga menyebabkan mereka cedera,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, tahap kecederaan kedua-dua suspek belum dapat dipastikan kerana pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian. malah identiti dan umur suspek juga sedang dalam semakan.

“Polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan kronologi serta perkembangan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 13 saat memaparkan keadaan seorang lelaki dalam keadaan terlentang di atas jalan yang dikaitkan dengan kes tembakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN