PETALING JAYA – Bekalan makanan utama negara dilaporkan berada dalam keadaan mencukupi dan tidak terjejas susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diperoleh hasil mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dipengerusikannya di Wisma Tani, tengah hari tadi.
Menurut beliau, laporan terkini kementerian menunjukkan bekalan makanan asas termasuk beras berada pada tahap stabil dan terkawal memandangkan negara-negara yang terlibat dalam konflik berkenaan tidak memainkan peranan besar dalam rantaian bekalan makanan Malaysia.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa bekalan makanan utama negara, khususnya beras, adalah mencukupi dan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa KPKM perlu terus memantau rapat perkembangan bekalan makanan negara dari semasa ke semasa kerana aspek sekuriti makanan adalah kritikal dan tidak boleh dikompromi.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan memandang serius kemajuan projek pembangunan sektor pertanian bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif dan meningkatkan produktiviti domestik.
Katanya, pelaksanaan projek perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import.
Usai mesyuarat tersebut, beliau turut menunaikan solat Zuhur bersama warga KPKM serta merakamkan penghargaan atas komitmen kementerian dan agensi dalam memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara demi kebajikan rakyat.- KOSMO! ONLINE.














