SEREMBAN – Polis menerima dua laporan berhubung kes meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan di sebuah kedai di Pekan Tampin, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa dalam kejadian merupakan dua lelaki Melayu yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua kejadian yang berlaku sekitar pukul 1 pagi itu mempunyai kaitan dan bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek
disyaki pemberi wang tidak berlesen atau along.
“Siasatan mendapati ia bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana mana individu, tetapi disyaki bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan bayaran hutang dipercayai oleh along yang sama melakukan simbah cat di kedai tersebut sebelum ini.
“Kedua-dua kes ini kini di siasat di bawah Seksyen 504 iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkit pecah keamanan dan seksyen 506 kanun keseksaan iaitu ugutan jenayah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Susulan itu, Alzafny menasihatkan orang ramai untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan kenyataan yang tidak benar berkaitan isu berkenaan.














