KUALA LUMPUR – Jumlah guru Pendidikan Khas di seluruh negara setakat 31 Januari lalu adalah seramai 20,420 orang berbanding 154,557 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) yang berdaftar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu menjadikan nisbah guru kepada MBPK bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah rendah adalah satu nisbah 6.8.
Katanya, nisbah guru program integrasi kepada MBPK di PPKI sekolah menengah pula adalah satu nisbah 6.4.
“Nisbah yang disasarkan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah satu nisbah 6.5,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hatta Md. Ramli di Dewan Negara hari ini berhubung jumlah seorang guru berbanding murid aliran PPKI.
Kah Woh berkata, antara rancangan jangka pendek KPM untuk menangani isu kekurangan guru Pendidikan Khas adalah melalui kursus pendedahan pendidikan khas.
KPM mengenal pasti guru-guru arus perdana yang berminat untuk menyertai Pendidikan Khas sebelum diberikan latihan asas.
“Melalui kursus pendedahan ini, guru-guru arus perdana yang berminat khususnya bagi program PPKI akan mengikuti latihan selama tiga hari dua malam,” katanya.
Tahun lalu, seramai 224 guru arus perdana diserap sebagai guru Pendidikan Khas melalui pendekatan tersebut. Kaedah itu merupakan langkah jangka pendek bagi membolehkan KPM mendapatkan sumber guru dengan segera untuk menampung keperluan semasa.
Bagi jangka masa panjang, katanya, KPM mempunyai beberapa pendekatan termasuk pengambilan pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).
Menurutnya, tempoh latihan bagi melahirkan guru Pendidikan Khas melalui program tersebut mengambil masa lima tahun sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah.
“Sekiranya terdapat keperluan mendesak, kementerian juga akan membuat pengambilan guru secara kontrak bagi memastikan kekurangan tenaga pengajar dapat ditangani,” katanya.
“Dalam masa terdekat KPM akan menggerakkan seramai 533 calon simpanan yang diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan dijangka ditempatkan mulai April ini,” katanya.
Selain itu, terdapat 287 lagi guru yang akan dilantik pada bulan sama bagi menampung keperluan semasa sebagai tambahan kepada 553 guru terbabit.
Katanya, seramai 205 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dari IPG yang dijangka menamatkan pengajian pada Jun ini akan ditempatkan sebagai guru Pendidikan Khas.
“Bagi calon simpanan, terdapat 268 calon khusus dalam bidang Pendidikan Islam yang akan turut ditempatkan,” katanya.
Secara keseluruhannya, KPM menjangkakan sekurang-kurangnya 1,293 guru Pendidikan Khas baharu akan ditempatkan di sekolah-sekolah tahun ini. Jumlah itu tidak termasuk lantikan tambahan yang mungkin dibuat pada September, Oktober dan November hingga hujung tahun ini.
“KPM sedang berusaha memastikan keperluan guru pendidikan khas di sekolah dapat dipenuhi dengan sebaiknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














