KUANTAN – Kira-kira 8,000 penjawat awam negeri Pahang menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan khas berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima seminggu sebelum Aidilfitri ini bertujuan membantu penjawat awam membuat persiapan awal menjelang hari raya.
“Pemberian bantuan ini bertujuan membantu penjawat awam membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Bantuan khas kewangan ini melibatkan kira-kira 8,000 orang penjawat awam negeri dan akan dikreditkan ke dalam akaun penerima seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap pemberian tersebut dapat meningkatkan motivasi penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri berharap agar pemberian ini dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga perkhidmatan awam negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, sekali gus memperkukuh usaha memakmurkan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan, “ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














