DUBAI – Negara-negara dan syarikat-syarikat penerbangan bergegas menghantar pulang puluhan ribu pengembara yang terkandas di Asia Barat susulan letusan konflik serantau yang dicetuskan oleh serangan Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Negara-negara serantau menutup ruang udara mereka ketika Iran membuat serangan balas ke atas pangkalan-pangkalan tentera AS di rantau itu.
Sekurang-kurangnya 12,903 penerbangan dibatalkan antara Sabtu hingga Isnin lalu, yang merangkumi 40 peratus daripada perlepasan yang dirancang, demikian menurut firma analisis data penerbangan, Cirium. Katanya, lebih satu juta penumpang terjejas setakat semalam.
Bagaimanapun, beberapa penerbangan Emirates berlepas pagi semalam dan terbang keluar dari rantau Teluk, demikian menurut laman web pengesanan penerbangan, Flightradar24.
Penerbangan tambang rendah, Flydubai dan Aeroflot Russia juga mula beroperasi.
Selain itu, penerbangan berterusan masuk dan keluar dari Jordan, Arab Saudi dan Oman, walaupun tiada penerbangan awam yang melalui ruang udara di Iraq, Israel, Kuwait, Libya atau Qatar.
Sementara itu, Russia berkata, ia membawa pulang warganegaranya yang telah melarikan diri dari Iran ke Azerbaijan, serta beberapa puluh orang yang berada di Mesir.
AS berkata, ia membantu mengatur penerbangan sewa khas dari Jordan, Arab Saudi dan UAE sambil menambah, lebih 9,000 orang telah pun pulang dari rantau itu sejak Sabtu lepas. – AFP














