KUALA LUMPUR – Seramai 49 individu termasuk tiga tekong warga Indonesia ditahan dalam operasi khas untuk membanteras kegiatan penyeludupan migran di perairan Sabak Bernam, Selangor awal pagi tadi.
Operasi bersepadu ‘Op Pintas’ itu dilancarkan kira-kira pukul 2 pagi oleh Bahagian D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara dan Task Force NSO MAPO, Kementerian Dalam Negeri.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi yang dilakukan kira-kira tiga batu nautika dari perairan Sabak Bernam itu berjaya menahan tiga lelaki Indonesia berusia 42 hingga 45 tahun dipercayai tekong.
“Turut ditahan seramai 46 migran warga Indonesia terdiri daripada 26 lelaki dan 20 wanita berusia 25 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kesemua warga asing tersebut dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia dari pantai Sabak Bernam dengan menaiki bot ‘pom pom’.
Setiap migran dikenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 yang dibayar secara tunai.
Kumar berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran. – KOSMO! ONLINE














