HONG KONG – Nombor pendaftaran kenderaan yang hanya mempunyai abjad tunggal, H dijual pada harga HK$20 juta (RM9.9 juta) dalam satu acara lelongan di Hong Kong, lapor portal berita South China Morning Post.
Nombor plat itu merupakan satu daripada 49 nombor pendaftaran yang dijual semasa acara lelongan Tahun Baharu Cina kelmarin.
Ia juga merupakan nombor plat keempat termahal dijual di bandar raya itu.
Bidaan untuk nombor plat H itu bermula pada HK$5,000 (RM2,496), sebelum meningkat kepada HK$5 juta (RM2.4 juta) pada bidaan pusingan pertama.
Selepas lebih 50 pusingan bidaan, nombor pendaftaran kenderaan tersebut akhirnya dimiliki seorang pembida pada harga HK$20 juta.
Nombor plat lain yang turut dilelong termasuk 30 pada harga HK$4.55 juta (RM2.2 juta), 101 pada harga HK$1.01 juta (RM504,157) dan 2288 pada harga HK$470,000 (RM234,608). – AGENSI














