LONDON – Britain, Perancis dan Jerman menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mengambil ‘tindakan pertahanan yang perlu dan seimbang’ terhadap Iran, lapor agensi berita Xinhua.
“Kami akan mengambil langkah untuk mempertahankan kepentingan kami dan sekutu kami di rantau ini,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam.
“Ia berpotensi dijalankan dengan membolehkan tindakan pertahanan yang perlu dan seimbang bagi memusnahkan keupayaan Iran untuk menembak peluru berpandu dan dron.
“Kami bersetuju untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu di rantau itu mengenai perkara tersebut,” tambah kenyataan itu.
Semalam, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, London telah menerima permintaan AS untuk menggunakan pangkalan British bagi tujuan pertahanan khusus dan terhad.
“Rakan kongsi kami di Teluk telah meminta kami untuk melakukan lebih banyak lagi bagi mempertahankan mereka.
“Kami mempunyai jet British di udara sebagai sebahagian daripada operasi pertahanan yang diselaraskan yang telah berjaya memintas serangan Iran,” kata Starmer.
Ujarnya, satu-satunya cara untuk menghentikan ancaman itu adalah dengan memusnahkan peluru berpandu di sumbernya.
“Ia adalah di depoh simpanan mereka atau pelancar yang digunakan untuk menembak peluru berpandu,” katanya.
Starmer berkata, Britain tidak terlibat dalam serangan awal ke atas Iran dan tidak akan menyertai tindakan ofensif buat masa ini. – AGENSI














