fbpx
Fadhlina bersama-sama 20 pelajar asnaf sekitar ibu negara memilih kelengkapan serta keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri semalam. FACEBOOK

Bergenang air mata bantu anak asnaf pilih baju raya – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya dan sahabat saya, Adibah dari Perbadanan Kota Buku (PKB), bergenang-genang air mata sambil memilih persiapan baju dan kasut untuk mereka.”

Demikian luahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila beliau menahan sebak sepanjang melihat gelagat pelajar-pelajar asnaf memilih kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook berkata, seramai 20 anak-anak asnaf dari beberapa buah sekolah di sekitar ibu kota diraikan bersamanya semalam untuk memilih pakaian dan kasut raya.

“Anak-anak ini termasuk dalam golongan asnaf dan dibelenggu dengan pelbagai isu kemiskinan bandar. Baik isu ekonomi mahupun isu sosial,” katanya.

Fadhlina berkata, aktiviti ini dilaksanakan bagi menghayati nilai pendidikan manusiawi yang ditekankan beliau dalam pentadbiran kementerian.

“Kita bukan sahaja mahu pendidikan manusiawi untuk rakyat kita. Tetapi kita yang memimpin inilah harus memulakan pentadbiran yang manusiawi.

“Ketika madrasah Ramadan menuntut kita menjadi manusia yang lebih baik dari aspek ibadahnya. Ramadan juga mengingatkan kita tentang dimensi manusiawi yang menjadi pelengkap kepada silibus Ramadan itu,” katanya.

Beliau menegaskan, konsep ‘Fastabiqul Khairat’ dan ‘wa ta’awanu ‘alal birr wat taqwa’ menuntut setiap individu memperuntukkan usaha meningkatkan taqwa melalui khidmat kebaktian kepada sesama manusia.

“Terima kasih kepada guru-guru yang sangat penyayang mengurus ragam anak-anak. Terima kasih jua buat semua kakitangan AEON yang sentiasa mesra menyambut kehadiran kami.

“Terima kasih buat Adibah dan rakan-rakan PKB yang terus mendukung usaha KPM (Kementerian Pendidikan) membela nasib anak-anak kita. Pendidikan manusiawi bermula dengan kepimpinan yang manusiawi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI