GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan tergantung di dapur rumahnya di Solok Codrington di sini, pagi tadi selepas dipercayai menetak seorang rakannya hingga parah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pada mulanya seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun datang ke Balai Polis Pulau Tikus dalam keadaan berlumuran darah seleps ditetak individu dikenali di sebuah restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus pada pukul 6.30 pagi tadi.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk mendapatkan rawatan.
“Bertindak atas maklumat, polis yang pergi ke rumah suspek pada pukul 8.05 pagi menjumpai warga emas berusia 68 tahun itu dalam tidak sedarkan diri di bahagian dapur.
“Polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam tong sampah Pasar Pulau Tikus, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Siasatan awal mendapati kejadian berdarah itu dipercayai berpunca daripada isu kewangan antara mangsa dan suspek. – KOSMO! ONLINE














