fbpx
HAKIM DANISH

Permulaan kurang menjadi Hakim Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli menamatkan perlumbaan Moto3 di kedudukan ke-18 pada saingan pembukaan musim Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Thailand, Litar Antarabangsa Chang, Buriram, semalam.

Beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa keseluruhan 32 minit 39.990 saat selepas mengharungi perlumbaan sengit sejauh 19 pusingan.

“Untuk perlumbaan pertama hari ini, saya menamatkan saingan di kedudukan ke-18. Ini bukan keputusan yang saya mahukan, tetapi perlumbaan tadi agak sukar buat saya.

“Saya cuba untuk berada dalam kelompok hadapan, namun mereka mempunyai kelajuan yang lebih baik. Saya sudah berusaha sehabis mungkin untuk mengejar, tetapi ketika ini saya masih perlu memperbaiki gaya tunggangan kerana saya masih lagi dalam proses mencari rentak yang sesuai dengan jentera ini,” katanya selepas perlumbaan.

Pelumba Sepanyol, David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP muncul juara selepas merekodkan masa 32 minit 14.18 saat.

Tempat kedua menjadi milik Maximo Quiles yang mewakili CFMOTO Gaviota Aspar Team dengan perbezaan hanya 0.003 saat di belakang Almansa, manakala Valentin Perrone dari Red Bull KTM Tech3 melengkapkan kedudukan podium dengan jurang 9.480 saat.

Hakim Danish yang sebelum ini memulakan perlumbaan dari petak ke-15 bagaimanapun gagal mengekalkan kedudukannya selepas terperangkap dalam kelompok persaingan padat di pertengahan saingan.

Aksi di Buriram menyaksikan kelompok pelumba Moto3 bersaing rapat terutama dalam 10 kedudukan teratas, sekali gus menjadikan perebutan posisi berlangsung agresif hingga ke penghujung perlumbaan.

Sebagai pendatang baharu dalam kelas Moto3 musim ini, keputusan tersebut menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu belum berjaya mengutip mata pada pusingan pertama, namun tetap memperoleh pengalaman berharga di pentas dunia.

“Insya-Allah, untuk perlumbaan seterusnya saya akan lebih fokus kepada tunggangan saya, terutama cara mengendalikan jentera. Saya perlu memperbaiki cara memasuki selekoh dan pada masa sama meningkatkan komunikasi bersama pasukan. Komunikasi kami sekarang sudah baik, cuma saya mahu ia menjadi lebih mantap,” katanya.

Dengan musim 2026 masih panjang, Hakim Danish dijangka menjadikan perlumbaan di Thailand sebagai medan pembelajaran terbaik sebelum memburu kedudukan lebih baik serta sasaran mengutip mata pada pusingan seterusnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN