PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial meluahkan kebimbangan selepas tersilap mengisi maklumat ketika menghantar borang e-Filing cukai pendapatan apabila memilih “Ya” bagi ruangan cukai ditanggung majikan.
Menerusi perkongsian di laman Threads oleh Akyswanee_ak, dia mengakui berasa panik dan takut sekiranya kesilapan itu memberi kesan kepada taksiran cukainya.
“Boleh ubah ke atau ada apa-apa akan jadi tak? Saya takut,” ujarnya.
Seorang pengguna lain yang sering berkongsi kandungan berkaitan percukaian, @Mycukaimax menenangkan keadaan dan memaklumkan bahawa kesilapan itu masih boleh diperbetulkan melalui sistem MyTax tanpa perlu hadir ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Tak perlu panik. Login balik mytax, hantar e-Permohonan Pindaan (e-BE) online je. Tak perlu pergi pejabat. Tukar balik ke “Tidak” dan submit semula,” katanya di ruangan komen.
Dia turut menyarankan sekiranya berdepan kesukaran, pembayar cukai digalakkan menghubungi talian rasmi LHDN bagi mendapatkan maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE














