fbpx
QABIL IRFAN

Moto4 Asia Cup: Qabil Irfan raih podium sulung di Buriram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelumba Moto4 Asia Cup negara, Qabil Irfan Azlan mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua pada saingan pusingan pembukaan di Chang International Circuit, Buriram, Thailand, hari ini.

Kejayaan tersebut membolehkan pelumba kelahiran Terengganu itu meraih podium sulung musim ini selepas menamatkan Perlumbaan 1 semalam di kedudukan keenam.

Pada aksi hari ini, Qabil mencatat masa keseluruhan 26 minit 56.174 saat (s) dan hanya dipisahkan 2.2s di belakang pelumba Jepun, Hayato Chishiki yang muncul juara, manakala seorang lagi pelumba Jepun, Kotaro Togashi melengkapkan kedudukan tiga terbaik.

Qabil berkata, keputusan tersebut cukup menggembirakan selepas melalui pengalaman baharu bersaing dalam kejuaraan kompetitif di peringkat Asia.

“Pada sesi kelayakan hari Sabtu, saya cuba lakukan catatan masa terbaik dan berjaya meraih petak kedua (P2) walaupun ketika itu ada sedikit masalah dengan jentera.

“Sewaktu Perlumbaan 1, memandangkan ini pengalaman pertama saya dalam saingan kompetitif sebegini di Asia, saya ambil pendekatan untuk memerhati dahulu bagaimana pelumba lain beraksi. Saya cuba memberi saingan, namun hanya mampu tamat di tempat keenam.

“Untuk Perlumbaan 2 hari ini (Ahad), saya cuba untuk ‘fight’ dari awal lagi. Misi saya adalah kekalkan posisi di kelompok hadapan dari mula hingga ke garisan penamat. Saya belajar banyak perkara daripada perlumbaan semalam dan saya sangat gembira akhirnya berjaya meraih tempat kedua hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Naqib Rifqi Zulhelmi menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 sekali gus berjaya mengutip mata, manakala Qayyim Razin Razali menamatkan saingan di tempat ke-16 dan gagal meraih mata.

Saingan Moto4 Asia Cup seterusnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar pada 12 April depan sekali gus menjadi medan penting buat Qabil untuk meneruskan momentum cemerlangnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN