fbpx
Paparan jadual penerbangan ke rantau Asia Barat dibatalkan berikutan penutupan ruang udara susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran. Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

MAG gantung penerbangan ke Doha, Jeddah, Madinah hingga 4 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Malaysia Aviation Group (MAG) mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan ke dan dari Doha, Qatar selain Jeddah dan Madinah hingga 4 Mac depan susulan penutupan ruang udara di Timur Tengah.

MAG dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, semua penerbangan lain termasuk ke dan dari London serta Paris Charles de Gaulle Airport kekal beroperasi mengikut jadual buat masa ini.

Katanya, penerbangan tersebut menggunakan laluan alternatif yang berada jauh dari zon konflik yang terjejas.

“Penumpang yang terlibat sedang dimaklumkan dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.

“Penerbangan ke destinasi yang terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan semasa,” katanya di sini tadi.

Antara penerbangan terjejas hari ini termasuklah MH150 yang dijadualkan berlepas ke Jeddah dan MH151 yang dijadual berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Turut terlibat ialah MH160 yang dijadualkan berlepas ke Doha, Qatar pada 4 Mac serta MH158 yang dijadualkan ke Madinah pada 2 Mac.

MAG berkata, semua penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat perhubungan mereka melalui ‘My Booking’ bagi menerima makluman terkini.

“Bantuan juga boleh diperoleh menerusi perkhidmatan Live Chat di laman sesawang Malaysia Airlines atau dengan menghubungi Pusat Panggilan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).

“Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat dan boleh dipercayai.

“Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN