JOHOR BAHRU – Seorang wanita hamil tujuh bulan, dua pesakit penyakit serius termasuk tibi (TBC) dan hernia serta seorang individu yang dipercayai mengalami gangguan kesihatan mental menjadi antara 267 warganegara Indonesia (WNJ) dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KHRai) Johor Bahru dalam kenyataan berkata, pemulangan membabitkan 180 lelaki dan 87 wanita itu dilaksanakan selama dua hari bermula pada 27 dan 28 Februari lalu.
Jelasnya, pemulangan dilaksanakan menerusi dua laluan utama iaitu Johor–Batam serta Melaka–Dumai dalam usaha memastikan kebajikan WNI yang ditahan pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai kesalahan terus terbela.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 WNI yang ditempatkan di Depo Tahanan Imigresen (DTI) Kemayan, Pahang dihantar pulang melalui Pelabuhan Pasir Gudang ke Batam pada 27 Februari pukul 10 pagi menaiki feri MDM Express.
“Pada hari sama pukul 12.30 tengah hari, seramai 118 lagi WNI membabitkan tahanan dari DTI Pekan Nenas, Johor, DTI Aji Selangor dan DTI Lenggeng, Negeri Sembilan turut dihantar pulang ke Batam menaiki feri MDM Express 02,”katanya.
KJRI Johor Bahru berkata, sementara itu, 114 WNI dari DTI Machap Umboo, Melaka dipulangkan ke Dumai, Riau melalui Pelabuhan Antarabangsa Melaka pada 28 Februari pukul 2 petang menaiki feri Indomal Dynasty.
Menurutnya, majoriti mereka yang dihantar pulang berasal dari Jawa Timur, Sumatera Utara, Aceh, Riau dan Nusa Tenggara Barat (NTB).
“Kebanyakan mereka dideportasi selepas didapati melakukan pelanggaran peraturan imigresen di Malaysia,”katanya.
Kenyataan itu berkata, bagi melancarkan proses pemulangan, KJRI Johor Bahru bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 121 Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) kepada deportan yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Sepanjang tempoh Januari hingga Februari 2026 sahaja, KJRI Johor Bahru dilaporkan telah melakukan proses pemulangan seramai 1,024 WNI ke tanah air masing-masing.
Ketua Satgas KJRI Johor Bahru, Jati H. Winarto turut mengiringi kumpulan deportan ke Batam, manakala pemulangan ke Dumai dipantau oleh Pelaksana Fungsi Konsuler 4, Adinda Mardania bagi memastikan segala prosedur berjalan lancar.
Setibanya di Batam dan Dumai, kesemua WNI akan ditempatkan sementara di pusat perlindungan sebelum melalui proses pendataan.
Mereka seterusnya dihantar pulang ke daerah asal masing-masing hasil kerjasama erat pelbagai agensi di Indonesia dan Malaysia termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, pihak berkuasa pelabuhan serta agensi perlindungan pekerja migran.-KOSMO! ONLINE














