BUKIT KAYU HITAM – Protokol keselamatan negara termasuk memperketatkan kawalan di pintu masuk darat, laut dan udara perlu dipertingkatkan susulan perkembangan geopolitik semasa yang semakin dinamik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, situasi geopolitik yang berubah-ubah ketika ini menuntut negara meningkatkan keupayaan keselamatan bagi memastikan kedaulatan dan keamanan terus terpelihara.
“Tadi saya sebut bahawa pentingnya tumpuan untuk meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan yang meyakinkan kerana kita terdedah kepada perubahan geopolitik serantau.
“Kita ada konflik sempadan negara jiran, kita ada kesan suramnya ekonomi sesetengah negara jiran kita. Kemudian kita tengok ancaman penyeludupan dadah, senjata, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ini semua contoh-contoh jenayah dan ancaman keselamatan yang berlaku dengan point pertama kalau dia nak masuk negara kita dia mesti bolos di sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.
Susulan itu, kata beliau, protokol keselamatan negara dan parameter kawalan perlu dipertingkatkan menerusi beberapa langkah utama iaitu menyemak semula undang-undang dan peraturan sedia ada bagi memastikan ia masih relevan dan berkesan.
“Kalau ia tidak memadai, kita tengok balik apa yang kita perlu pinda, perketatkan dan tambah baik. Kita ada akta induk kita iaitu Akta AKPS, kita juga menguatkuasakan pelbagai akta lain.
“Kita juga nak semak balik prosedur operasi standard (SOP), pemeriksaan, penahanan dan pelepasan selain konvensyen antarabangsa tentang kawalan sempadan, jadi kita nak mulakan yang itu dulu daripada segi polisi,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti operasi termasuk perkongsian maklumat antara pihak berkuasa seperti polis, imigresen, kastam, dan tentera.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga melihat kepada kepentingan kawalan yang bersifat akses berlapis.
“Kita ke arah pelaksanaan National Integrated Immigration System (NIISe) tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat. Sekarang baru dua iaitu reformasi pintu masuk, kita nak pasang 635 auto gate di semua pintu masuk negara dan kedua adalah sistem tapisan awal pengembara yang masuk ke negara kita.
“Tapi sementara nak tunggu fasa itu lengkap pada tahun 2029, ancaman itu berlaku sekarang. Jadi sebab itu akses berlapis sementara kita nak sampai, ia mesti bermula di sini dengan sistem biometrik, pengesahan identiti mengikut pas-pasnya yang mana semua itu saya minta untuk disemak semula di bawah kawalan akses berlapis,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya juga sedang melengkapkan aspek teknologi dan inovasi di pintu masuk negara termasuk televisyen litar tertutup. – KOSMO! ONLINE














