fbpx
ANIQ antara atlet yang menjadi sandaran negara untuk meraih emas pada Sukan Komanwel Glasgow nanti.

PABM buru empat emas, pecah rekod Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sasaran berani memburu empat pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland, Julai nanti dengan misi yang berpotensi mencipta pencapaian terbaik di pentas berprestij itu.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat menegaskan, sasaran tersebut dibuat berasaskan analisis prestasi semasa atlet dan penilaian realistik terhadap kekuatan pencabar, bukannya sekadar harapan di atas kertas.

“Edisi lepas kita menyumbang dua emas dan satu perak. Sepatutnya kita sasar tiga emas, tetapi kali ini kita bentangkan sasaran sekurang-kurangnya empat emas. Jika tercapai, ia akan menjadi rekod terbaik angkat berat negara di Komanwel,” katanya.

Beliau berkata keyakinan itu turut disokong peningkatan konsisten prestasi atlet dalam kejohanan kelayakan serta kematangan skuad kebangsaan selepas beberapa penampilan kompetitif di pentas antarabangsa.

“Kita bercakap berdasarkan fakta, prestasi semasa dan analisis pesaing. Berdasarkan semua itu, kita yakin mampu menyumbang lebih banyak emas kepada negara,” katanya.

Sandaran utama pingat emas dijangka digalas barisan atlet berpengalaman negara termasuk Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat dan Mohamad Syahmi Ghazali yang kini berada pada tahap prestasi memberangsangkan.

“Kita masih mengharapkan Aniq, Aznil, Erry dan Syahmi. Hafiz juga dalam kelompok itu. Pasukan kali ini lebih mantap dan mampu memberi cabaran kuat di Komanwel,” jelasnya lagi.

Bagi memastikan sasaran tersebut realistik, PABM merangka pelan persiapan rapi termasuk penyertaan dalam Kejohanan Asia Tenggara di Kuching, Sarawak dan kejohanan kelayakan antarabangsa sebelum menjalani latihan pusat di Turkiye.

“Sekurang-kurangnya atlet akan sertai dua kejohanan sebelum fokus latihan intensif. Kita mungkin ke Turkiye tiga atau empat minggu sebelum ke Glasgow untuk persiapan terakhir,” katanya.

Ayub menegaskan pencapaian empat emas bukan sahaja memenuhi sasaran negara, malah mampu mengangkat imej angkat berat sebagai antara penyumbang utama pingat Malaysia di pentas Komanwel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN