SEBERANG PERAI – Taktik menjadikan lori tangki sebagai ‘stor bergerak’ bagi menyeleweng diesel bersubsidi terbongkar selepas serbuan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di Simpang Ampat, hari ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, terdapat tiga lelaki sedang memindahkan diesel tersebut daripada sebuah lori seberat 14 tan ke dalam lori tangki tersebut yang berkapasiti 24,000 tan dalam serbuan yang berlangsung kira-kira pukul 5 pagi itu.
Katanya, dua daripada suspek yang dipercayai warga asing bagaimanapun meloloskan diri ke dalam belukar berhampiran, manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori tangki itu mendapati kira-kira 14,000 liter diesel telah dipindahkan ke dalam kenderaan berkenaan sebelum dihantar ke lokasi lain yang masih belum dikenal pasti setakat ini.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan meletakkan lori tangki di lorong mati di kawasan berkenaan bagi tempoh tertentu sehingga sebulan. Apabila tangki dipenuhi, kenderaan itu akan bergerak ke lokasi lain,” katanya kepada pemberita di sini.
Secara keseluruhan, KPDN Pulau Pinang merampas 20,000 liter cecair dipercayai diesel bersubsidi termasuk 6,000 liter yang dirampas di sebuah premis tidak bernama dalam serbuan berasingan.
Antara barangan disita dalam kedua-dua operasi itu ialah sebuah lori kanvas seberat 14 tan, sebuah lori tangki berkapasiti 24,000 liter, 12 unit tangki IBC, tiga motor pam, tiga hos getah serta sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM200,000.-KOSMO! ONLINE














