PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal yang melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, doktor menasihatkan Sultan Ibrahim supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, kelmarin,” kata Istana Negara hari ini.
Menurut Istana Negara, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim semalam turut ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain.
Kata Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi selepas kesihatan baginda beransur pulih. – KOSMO! ONLINE














