KOTA TINGGI – Tiga pegawai tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Julai tahun lalu.
Tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun tersebut [akta 574].
Mengikut pertuduhan mereka bersama-sama telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22 dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya pada 28 Julai 2025 lebih kurang pukul 2 petang hingga 3 petang di Lapangsasar Ulu Tiram Utara dan boleh dihukum penjara sehingga tiga puluh tahun serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hayda Faridzal yang pada awalnya menetapkan jaminan RM25,000 kemudian menurunkan wang jaminan kepada RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa.
Beliau juga menetapkan 13 April depan bagi sebutan kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen serta kehadiran peguam pemerhati dari pihak keluarga. – KOSMO! ONLINE














