KOTA TINGGI – Tiga individu akan didakwa di Mahkamah Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian secara cuai terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 28 Julai tahun lalu.
Difahamkan ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masing-masing berpangkat Mejar dan Kapten serta seorang anggota lain-lain pangkat berpangkat Pegawai Waran.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan tindakan yang melulu (rash) atau cuai (negligent) tanpa niat untuk membunuh.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, pada 28 November tahun lalu, media melaporkan bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris, mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.
Perkara itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh, selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu.
Pada 26 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih Palapes itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai tahun lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram di sini sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. – KOSMO! ONLINE














