PETALING JAYA – JLG REIT Managers Sdn. Bhd., Pengurus Al-Salām Real Estate Investment Trust (Al-Salām REIT), mencatatkan hasil sebanyak RM88.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY 2025) , mewakili peningkatan 13 peratus tahun-ke-tahun daripada RM78.5 juta pada FY2024.
Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) meningkat 19 peratus tahun-ke-tahun kepada RM61.1 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 158 peratus tahun-ke-tahun kepada RM13.6 juta.
Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi lebih kukuh di KOMTAR JBCC, disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi dan kadar sewa yang lebih baik, di samping permintaan penyewa yang berterusan.
Al-Salām REIT mengisytiharkan agihan pendapatan akhir sebanyak 0.70 sen seunit bagi S4 2025, menjadikan jumlah Agihan Seunit (DPU) bagi FY2025 kepada 2.20 sen, peningkatan 214 peratus berbanding FY2024.
Ketua Pegawai Eksekutif kepada pengurus tersebut, Zulhilmy Kamaruddin berkata, pihaknya mencerminkan daya tahan portfolio dan pelaksanaan berdisiplin strategi pengurusan aset yang mana pertumbuhan kukuh dalam hasil, NPI serta keuntungan menunjukkan kualiti aset serta keupayaan untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang semakin baik.
“Menjelang 2026, kami melihat pemangkin struktur Johor, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Laluan RTS Johor Bahru–Singapura, sebagai faktor sokongan bagi aktiviti rentas sempadan dan permintaan pengguna.
“Dalam persekitaran ini, kami akan memberi keutamaan kepada inisiatif penambahbaikan aset yang disasarkan (AEI), strategi penyewaan proaktif dan pengurusan modal berdisiplin untuk mengekalkan kualiti agihan dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai setiap sektor perniagaan, bagi segmen runcit, ia kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan Al-Salām REIT, dipacu oleh prestasi kukuh berterusan di KOMTAR JBCC.
Segmen ini mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 20 peratus tahun-ke-tahun kepada RM52.2 juta pada FY2025.
NPI meningkat kepada RM30.9 juta daripada RM22.2 juta pada FY2024 yang mana pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kadar penghunian dan kadar sewa yang lebih baik di KOMTAR JBCC, manakala @Mart Kempas dan Mydin Hypermart Gong Badak terus memberikan sumbangan stabil kepada portfolio.
KOMTAR JBCC terus mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi Johor yang semakin kukuh pada FY2025, dipacu oleh peningkatan penggunaan domestik, pemulihan pelancongan dan perbelanjaan rentas sempadan yang berterusan dari Singapura.
Melalui momentum ini, aset tersebut berada pada kedudukan baik untuk menarik lebih ramai pengunjung menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Melawat Johor 2026, yang dijangka menyokong lagi aktiviti runcit dan jumlah pengunjung.
Bagi segmen lain pula adalah makanan dan minuman (F&B) telah disokong oleh pajakan jangka panjang outlet KFC dan Pizza Hut, mencatatkan hasil RM17.6 juta dan NPI RM17.4 juta, mencerminkan pertumbuhan marginal tahun-ke-tahun serta mengukuhkan profil aliran tunai defensif di bawah struktur pajakan jangka panjang.
Segmen industri dan lain-lain pula menyumbang hasil RM12 juta dan NPI RM11.4 juta, disokong oleh pajakan induk dan perjanjian penyewaan jangka panjang yang meningkatkan keterlihatan pendapatan dan meminimumkan risiko kekosongan.
Segmen pejabat yang terdiri daripada Menara KOMTAR telah mencatat hasil sebanyak RM7 juta dan NPI RM1.9 juta, ini mencerminkan prestasi stabil dengan peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti penyewaan apabila keadaan pasaran terus normal, disokong oleh inisiatif berterusan untuk mengukuhkan kadar penghunian dan meningkatkan prestasi aset jangka sederhana.
“Dengan asas yang semakin kukuh merentasi portfolio pelbagai kami dan perkembangan ekonomi Johor yang terus berevolusi, Al-Salām REIT kekal fokus untuk memperkukuh daya tahan pendapatan serta menyampaikan agihan berkualiti yang mampan kepada pemegang unit kami.” terangnya.
Mengulas lanjut, segmen runcit kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan Al-Salām REIT, dipacu oleh prestasi kukuh berterusan di KOMTAR JBCC.
Segmen ini mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 20 peratus tahun ke tahun kepada RM52.2 juta pada FY2025.
NPI meningkat kepada RM30.9 juta, berbanding RM22.2 juta pada FY2024.
Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh tahap penghunian dan kadar sewa yang lebih baik di KOMTAR JBCC, manakala @Mart Kempas dan Mydin Hypermart Gong Badak terus memberikan sumbangan yang stabil dan konsisten kepada portfolio.
KOMTAR JBCC terus mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi Johor yang semakin kukuh pada FY2025, didorong oleh peningkatan penggunaan domestik, pemulihan sektor pelancongan dan perbelanjaan rentas sempadan yang berterusan dari Singapura.
Sebagai sebahagian daripada strategi peningkatan nilai yang berterusan, Al-Salām REIT terus mengoptimumkan campuran penyewa, meningkatkan kualiti penyewaan dan menarik jenama baharu dengan potensi prestasi yang kukuh. -KOSMO! ONLINE














