PETALING JAYA – Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di ibu negara tampil menjelaskan situasi sebenar susulan hantaran di aplikasi Thread yang mendakwa suasana masjid lengang menjelang waktu berbuka puasa.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sehingga mencetuskan komen negatif yang didakwa boleh mencemarkan reputasi masjid berkenaan.
“Hantaran dimuat naik oleh @drfirdaus_92 pada pukul 6.32 petang itu menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya.
“Hakikatnya, jemaah mula memenuhi masjid bermula pukul 7 malam seperti Ramadan tahun lepas apabila bilangan jemaah yang datang berbuka puasa di masjid tahun ini juga adalah 800 hingga 1,000 orang setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Farzli berkata, pihak masjid menyantuni semua jemaah tanpa sebarang syarat termasuk menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir di luar jangkaan.
“Pihak masjid juga memperuntukkan makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail selain menyantuni kariah yang uzur dengan menghantar makanan ke rumah mereka,” katanya.
Secara keseluruhannya, pihak masjid memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan tahun ini.
“Pihak masjid sentiasa cana untuk menerapkan adab-adab kepada jemaah ketika berada di masjid. Begitu juga dengan pemerkasaan program pengajian ilmu agama.
“Pihak masjid menyediakan barisan asatizah bertauliah yang mencakupi pelbagai bidang pengajian ilmu agama,” katanya.
Katanya, pihak masjid mengambil berat mengenai kehadiran belia dan anak-anak ke masjid tersebut sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan masjid.
“Justeru, pihak masjid merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni mereka antaranya kelas mengaji mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, hari kanak-kanak peringkat masjid, Khatan Perdana dan Kids Zone sepanjang Ramadan dan Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














