fbpx
BUKAN menunjuk, tegas Didie usaha yang dilakukan bagi membantu rakan selebriti yang berada dalam kesusahan dilakukan atas dasar prihatin.

‘Bertindak segera, jangan tutup mata lihat kesusahan orang lain’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selebriti versatil Didie Alias menegaskan setiap bantuan yang dihulurkan kepada rakan selebriti yang ditimpa musibah sebelum ini adalah atas inisiatifnya sendiri.

Menurut Didie, 54, berkata, dia bertindak sedemikian kerana rindukan rakan seperjuangan selain rasa simpati selepas mendengar khabar sama ada individu itu sedang bergelut dengan penyakit atau kesempitan hidup.

“Kalau nak tunggu persatuan dengan macam-macam prosedur, mungkin akan lambat.

“Jadi, lebih baik kita jaga kita dan bertindak segera, jangan sesekali tutup mata melihat kesusahan orang lain.

“Kita sendiri tidak tahu ke mana arah hidup sekarang dan pada masa akan datang. Inilah peluang untuk saya buat sedikit amal kebajikan,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia berkata perkongsian momen menziarahi rakan artis dalam media sosial adalah bagi merancakkan lagi bantuan atau sumbangan daripada orang ramai.

“Semua usaha itu saya lakukan sendiri, tak perlu tunggu sesiapa.

“Kadang-kadang orang fikir saya nak menunjuk ketika beri bantuan dan sebagainya tetapi hakikatnya tidak pun.

“Bila saya menghebahkan, rakan-rakan lain pasti akan tahu dan kalau ada antara mereka yang berkemampuan, mungkin akan dapat membantu lebih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia memaklumkan pernah membantu mengumpul dana buat pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau yang memerlukan RM25,000 untuk pembedahan dengan kadar segera.

“Kita tahu dia ada wang, tapi mungkin itu untuk kelangsungan hidup sebab bila perlukan RM25,000 secara mendadak, sudah tentu terkejut.

“Jadi, saya terus minta kod QR dia dan hubungi rakan-rakan lain untuk bantu sebarkan mengenai keadaan semasa Shamsul.

“Tak lama kemudian, bantuan tersebut dapat dikumpul dan selamat jalani pembedahan. Itu sahaja usaha kecil yang mampu dilakukan,” ujarnya.

Baru-baru ini, nama Didie menjadi bualan hangat netizen apabila dilihat sangat prihatin dengan keadaan dan keperluan rakan-rakan termasuk berada di sisi Amyza Aznan ketika anaknya, Andre MiKhail meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN