PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyantuni lebih 350 tetamu yang hadir selain mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah terkenal, Ustaz Haryanto Rizal.
Pada majlis sama, seramai 10 pengamal media termasuk veteran yang diuji masalah kesihatan dan kesempitan hidup menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu mereka untuk meringankan beban menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Sumbangan disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan wacana negara.
Penerima sumbangan terdiri daripada Norlee Mohd. Sapari (Sinar Harian), Ahmad Muliady Ab Majid (Bernama), Nasri Abdullah (Berita Harian), Yusman Yunus (Utusan Malaysia), Md. Sharif Haron (New Straits Times), Shukri Mohamad (Media Selangor), Muhammad Fauzi Mohamed (Sumber Kini), Shaukei Kahar (RTM), Nurfarahin Jamsari (Media Prima) dan Shahril Azman Mohd. Zain (Media Mulia).
Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA, seramai 658 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memelihara kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan bantuan. – KOSMO! ONLINE














