fbpx

AIZO kembali untung pada suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – AIZO Group Berhad (AIZO) merekodkan pendapatan sebanyak RM38.22 juta bagi suku kedua tahun kewangan 31 Disember 2026 naik 24 peratus berbanding RM30.82 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan kasar pula adalah sebanyak RM4.26 juta berbanding RM4.69 juta sebelumnya, mencerminkan tekanan margin dalam bahagian bitumen di tengah-tengah harga bitumen global yang lebih lemah.

Kumpulan juga mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.78 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.55 juta pada suku kedua TK2025.

Keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM1.56 juta, satu perubahan ketara daripada kerugian RM2.53 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Prestasi yang lebih baik ini didorong terutamanya oleh jumlah kerja yang lebih kukuh di Lombong Emas Selinsing di bawah segmen kejuruteraan awam, ketersediaan loji yang lebih baik dalam bahagian tenaga, dan pengiktirafan pengecualian hutang sekali sahaja semasa suku tersebut.

Pengarah Eksekutif AIZO, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi berkata, suku kedua tahun 2026  menandakan titik perubahan penting bagi syarikat setelah mencatat keuntungan.

“Output kejuruteraan awam yang lebih kukuh dan kecekapan operasi yang lebih baik merentasi segmen kami menunjukkan bahawa langkah penstrukturan semula dan disiplin kos yang dilaksanakan sebelum ini mula memberikan hasil yang boleh diukur.

“Walaupun bahagian tertentu kekal sensitif terhadap pergerakan harga komoditi dan faktor bermusim, struktur kepelbagaian kami memberikan kestabilan pendapatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, berbanding suku pertama, pendapatan meningkat 12.6 peratus daripada RM33.94 juta pada suku pertama TK2026 kepada RM38.23 juta.

Segmen kejuruteraan awam menerajui pertumbuhan, dengan pendapatan meningkat kepada RM29.51 juta daripada RM22.12 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi di projek Lombong Emas Selinsing.

Bagaimanapun, segmen produk bitumen mencatatkan pendapatan sebanyak RM6.91 juta, lebih rendah daripada RM9.66 juta pada suku pertama TK2026 disebabkan oleh penurunan harga bitumen global yang memberi tekanan menurun ke atas harga jualan.

Segmen tenaga mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.66 juta berbanding RM2.10 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh keadaan monsun bermusim yang mempengaruhi output penjanaan.

Bagi tempoh enam bulan kumulatif yang berakhir pada 31 Disember 2025, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM72.17 juta dan kerugian marginal selepas cukai sebanyak RM0.31 juta, mencerminkan trajektori pemulihan yang berterusan berbanding tempoh kerugian sebelumnya.

Melihat ke hadapan, AIZO kekal optimis dengan berhati-hati di tengah-tengah landskap makroekonomi Malaysia yang semakin baik, disokong oleh pengembangan KDNK yang stabil, penggunaan swasta yang berdaya tahan dan inflasi yang stabil.

Kumpulan akan terus mengutamakan kecekapan operasi, perbelanjaan modal yang berdisiplin dan pecutan kemajuan merentasi kerja awam, pembuatan bitumen dan operasi tenaga boleh diperbaharui. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI