fbpx
SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

30 migran didakwa di mahkamah, 26 orang mengaku salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dua minggu lalu.

Kesemua tertuduh berusia 18 hingga 55 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, 18 warga Indonesia termasuk dua wanita didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana berada di negara ini setelah tamat tempoh pas yang dikeluarkan.
Pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding itu, lapan tertuduh lain termasuk seorang lelaki warga Bangladesh didakwa atas pertuduhan masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Pertuduhan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan enam sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di kebun kelapa sawit Sungai Payung, Selekoh di Bagan Datuk pada pukul 6.15 petang, 13 Februari 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kesemua warga asing itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) dijatuhi hukuman penjara lima bulan daripada tarikh tangkapan.

Bagi lapan warga asing yang dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c), mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap dan satu sebatan.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, empat warga Indonesia termasuk seorang wanita yang diperakukan sebagai imigran larangan didakwa tinggal di negara ini tanpa sebab yang munasabah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Keempat-empat tertuduh yang tidak mengaku bersalah itu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(b) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 April depan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN