PETALING JAYA – Peningkatan bantuan keselamatan oleh Jepun kepada Malaysia di bawah inisiatif Official Security Assistance (OSA) menjadi sorotan utama dalam pertemuan Menteri Pertahanan bersama Duta Besar Jepun, Shikata Noriyuki hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lonjakan peruntukan daripada ¥400 juta pada tahun 2023 kepada ¥3.1 bilion bagi tahun 2025 disifatkan sebagai isyarat jelas peningkatan tahap kepercayaan dan kepentingan strategik Malaysia dalam landskap keselamatan.
“Hari ini saya berbesar hati menerima kunjungan hormat TYT Shikata Noriyuki, Duta Besar Jepun ke Malaysia. Turut hadir Atase Pertahanan Jepun ke Malaysia yang baharu, Kolonel Iwao Yasuhiro.
“Dalam konteks pertahanan, Jepun merupakan antara rakan strategik utama Malaysia di rantau Indo-Pasifik dalam memperkukuh kestabilan serantau serta keselamatan maritim.
“Sebagai anggota ADMM-Plus, Jepun terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan dan keyakinan bersama di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, sejak tahun 2018, Malaysia dan Jepun telah memeterai beberapa persefahaman dan perjanjian yang memperkukuh hubungan pertahanan serta kolaborasi ketenteraan kedua-dua negara ke tahap yang lebih strategik.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Jepun untuk memperkukuh kerjasama strategik sedia ada serta meneroka peluang baharu dalam bidang teknologi dan sains pertahanan, ke arah memperkasa keupayaan pertahanan negara dan kestabilan serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE














