PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan enam negeri hingga pukul 10 pagi ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.
“Di Selangor, kawasan yang terlibat adalah Hulu Langat, manakala Negeri Sembilan meliputi Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau.
“Turut terjejas adalah Melaka serta beberapa kawasan di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian,” katanya.
Sementara itu di Sarawak, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Bintulu (Bintulu dan Sebauh) serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Bagi Sabah, cuaca buruk dijangka berlaku di Pedalaman (Tenom, Nabawan dan Keningau), Sandakan (Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














