SKUAD hoki wanita negara mahu memanfaatkan pentas kelayakan Piala Dunia sebagai medan pematangan pasukan dengan fokus utama diberikan kepada prestasi dan proses permainan antarabangsa.
Ketua jurulatih hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan peluang beraksi dalam kejohanan berintensiti tinggi itu sebagai ruang terbaik untuk menilai tahap sebenar pasukan yang masih dalam fasa pembangunan.
“Kami bertuah dapat beraksi dalam kejohanan berstatus kelayakan Piala Dunia. Pasukan ini masih dalam proses pembinaan, jadi fokus utama kami adalah prestasi dan perkembangan pasukan,” katanya.
Menurut Nasihin, penyertaan dalam kejohanan besar selepas Sukan SEA Thailand sebelum ini memberi nilai tambah dari segi pengalaman, sekali gus membantu pemain menyesuaikan diri dengan tempo permainan antarabangsa.
“Ia merupakan pendedahan yang sangat penting untuk kami berkembang sebagai satu pasukan dan bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun,” jelasnya.
Mengulas cabaran menentang pasukan berprofil tinggi, Nasihin menegaskan pendekatan taktikal skuad negara kini lebih tersusun, khususnya dari segi disiplin bertahan dan serangan balas berpasukan.
“Selepas temasya lalu, kami mengubah corak latihan dengan memberi penekanan kepada organisasi bertahan dan serangan balas secara berpasukan. Kami mahu pemain mampu bersaing dan melawan, bukan sekadar bertahan,” ujarnya.
Tambahnya, barisan kejurulatihan turut membuat persiapan rapi dengan menganalisis kekuatan lawan menerusi data dan rakaman perlawanan bagi memastikan pasukan tidak turun tanpa perancangan jelas.
“Kami sudah biasa berdepan pasukan kuat. Apa yang penting ialah melihat sejauh mana proses yang kami bina ini memberi kesan kepada prestasi pasukan,” katanya.














