KUALA SELANGOR – Keprihatinan pengurusan sebuah sekolah di sini ‘menyelamatkan’ masa depan sekumpulan pelajar yang kurang berminat dengan akademik berhasil apabila kesemuanya berjaya selepas disalurkan ke kolej kemahiran.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Mohd. Affendy Japar berkata, Program Pemerkasaan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Laris (TeSLar) itu dilaksanakan sejak 2022 melibatkan pelajar tingkatan tiga hingga lima.
Katanya, idea pelaksanaan program itu tercetus apabila pengurusan mendapati kehadiran murid ke sekolah agak rendah.

“Apabila intervensi dilakukan oleh pihak kaunseling, kita dapati punca ia berlaku kerana kurang minat dalam bidang akademik.
“Sebagai penyelesaian dan ‘menyelamatkan’ masa depan mereka, kita menyalurkan pelajar yang berminat dalam mata pelajaran vokasional serta TVET di kolej-kolej kemahiran yang diiktiraf,” katanya.
Menurut Mohd. Affendy, setakat ini pihaknya telah menghantar 118 pelajar iaitu seramai 28 orang pada 2023, 40 (2024) dan 50 (2025).
Tambahnya, TeSLar memberi peluang kepada murid mengikuti pelbagai aktiviti seperti lawatan kerjaya, karnival STEM, bengkel kemahiran dan intervensi psikometrik bagi membantu mereka mengenal pasti potensi diri.
“Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Universiti Putra Malaysia, Giat Mara dan Adtec Kuala Langat yang menyediakan pendedahan industri dan latihan kemahiran kepada murid,” katanya.
Ujar Mohd Affendy, TeSLar memperkukuhkan peranan sekolah sebagai peneraju pembangunan bakat muda selaras dengan aspirasi negara melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.














