fbpx
Surat pemberitahuan yang dikongsikan pengguna Facebook, Yanie Mansor - GAMBAR HIASAN

Sekolah buka ruang infak, bantu guru Pasti sambut Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak membuka ruang kutipan infak Ramadan bagi membantu guru-gurunya menyambut Aidilfitri mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menerusi sepucuk surat bertarikh 12 Februari 2026 yang tular di media sosial, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kawasan Putrajaya memaklumkan, penganjuran Program Tahlil Ramadan 1447H dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Putrajaya (DPPK) serta beberapa surau terpilih di sekitar Putrajaya.

Dalam surat tersebut, pihak Pasti turut membuka peluang infak Ramadan kepada ibu bapa dan penjaga murid, difahamkan akan dimanfaatkan untuk membantu guru-gurunya yang berpendapatan rendah membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Pihak Pasti Kawasan Putrajaya juga membuka peluang infak Ramadan kepada seluruh warga Pasti. Infak tersebut akan dimanfaatkan kepada guru-guru Pasti yang berpendapatan rendah bagi mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih baik,” menurut kandungan surat berkenaan.

Perkongsian gambar surat itu dimuat naik pengguna Facebook, Yanie Mansor dan hantaran tersebut mengundang perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

“Sedih tengok guru Pasti. Saya baca surat program Ramadan anjuran Pasti Kawasan Putrajaya, hati terus rasa sebak,” tulisnya.

Menurut Yanie, walaupun budaya infaq dan membantu itu amalan mulia, situasi berkenaan menimbulkan persoalan tentang kebajikan guru.

“Guru yang mendidik anak-anak kita mengenal huruf, doa, adab dan asas agama…akhirnya terpaksa dibantu melalui kutipan infaq untuk cukupkan persiapan raya.

“Ini bukan soal politik. Ini soal kebajikan dan maruah pendidik. Kalau kita benar-benar menghargai pendidikan awal kanak-kanak, kebajikan guru mesti jadi keutamaan, bukan sekadar bergantung pada tabung Ramadan,” ujarnya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib guru-guru berkenaan.

“Guru tadika swasta memang ramai gaji kecil. Harap ada pembelaan lebih baik,” komen seorang pengguna.

“Tak salah infak, tapi sedih bila fikir guru yang ajar anak kita pun susah,” kata Auliya.

“Sampai bila akan macam itu. Kasihan…,” kata Wawa Hasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI