fbpx
Saiful ketika dibawa anggota polis selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

‘Negara ini ada undang-undang, tindakan responden jelas pembuli jalan raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang peniaga yang tular kerana memukul pemandu warga emas selepas terbabit dalam kemalangan di Kajang awal bulan ini terpaksa beraya di tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin terhadap Saiful Adli Yusof, 52, dalam prosiding semakan hukuman atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan mengugut mahu membunuh mangsa, Liew Khoon Foo, 70.

Hakim menegaskan tindakan tertuduh jelas tidak wajar dan membawa kesan yang serius.

“Selepas mendengar semua keterangan, mahkamah mengguna pakai Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes ini dan memutuskan bahawa keputusan denda oleh Mahkamah Majistret (Kajang) diketepikan.

“Kamu (tertuduh) dipenjara empat bulan bermula hari ini bagi dua pertuduhan tersebut. Kedua-dua hukuman ini berjalan serentak,” katanya.

Terdahulu, Khoon Foo dalam kenyataan impak yang dibacakan dalam bahasa Mandarin menyatakan dia mengalami trauma, takut keluar rumah dan tidak lagi berani untuk memandu.

Ekoran kejadian itu, warga emas tersebut menerima enam jahitan pada lidah sehingga sukar makan selain menafikan dia sengaja melanggar kenderaan tertuduh jenis Toyota Vellfire.

“Saya tiada niat melanggar keretanya. Mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku. Laporan polis juga telah dibuat berhubung kemalangan itu. Saya takut dia simpan dendam dan mencari saya semula. Saya merayu hukuman setimpal,” katanya.

Peguam Muhammad Syakir Haznal yang mewakili Saiful berhujah, anak guamnya tidak terus meluru, sebaliknya mengetuk pintu kenderaan mangsa dan berbincang terlebih dahulu.

Katanya, anak guamnya telah mengaku bersalah dan dikenakan denda yang tinggi sebelum ini.

Saiful yang berada dalam kandang tertuduh memaklumkan, dia hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire miliknya dilanggar sehingga menyebabkan bayinya yang berusia tiga hari terlepas daripada isterinya dan terjatuh.

“Saya sudah membunyikan hon, tetapi dia (mangsa) terus memandu termasuk melanggar lampu isyarat. Saya kejar kira-kira 500 meter. Ketika itu saya dalam perjalanan mencari pam susu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menegaskan, tindakan responden amat kejam berdasarkan rakaman video yang menunjukkan mangsa ditendang sebanyak tiga kali, ditumbuk dan dikepit pada pintu kereta.

“Negara ini ada undang-undang. Tindakan responden jelas pembuli jalan raya, bertindak semborono dan mengikut amarah. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Majistret Mahkamah Kajang, Fatin Dayana Jalil mengenakan denda RM5,500 terhadap Saiful selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan Khoon Foo dengan cara menumbuk dan menendang muka serta badan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras pada pukul 4.05 petang, 8 Februari lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bapa empat anak itu juga didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian di lokasi dan waktu sama.

Bagi kesalahan itu, Saiful didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN