BUKIT KAYU HITAM – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mendedahkan terdapat beberapa ugutan jenayah terhadap pegawainya sebelum insiden tembakan disasarkan kepada Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pagi tadi.
Menurut beliau, kejadian tembakan itu adalah kes pertama membabitkan pegawainya.
“Dalam salah satu ucapan saya empat minggu lalu kepada komander, telah saya zahirkan beberapa ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota di sini. Jadi kita ambil itu (ugutan) sebagai perkara yang perlu kita ambil perhatian.
“Namun kejadian pagi tadi, kita tidak menjangkakan mereka akan pergi sehingga ke tahap itu (tembakan),” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, serangan ke atas Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir sekali gus menunjukkan pihak terlibat terjejas dengan tindakan penguatkuasaan dilakukan di sempadan Malaysia-Thailand.
“AKPS baru berusia 14 bulan dan untuk menerima tekanan atau ancaman sedemikian sudah tentu ia (menjadi) satu tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang.
“Saya percaya tidak ada siapa yang sanggup melaksanakan perkara begitu sekiranya mereka tidak berasa tertekan, dalam erti kata lain tugas dilaksanakan anggota dan pegawai dengan penuh keikhlasan dan kejujuran,” katanya.
Untuk rekod, AKPS Bukit Kayu Hitam melaksanakan operasi bersepadu sejak 15 Januari hingga 15 Februari lalu yang membaw kepada rampasan bernilai hampir RM3.1 juta.
“Saya rasa ia satu rekod di pintu masuk Bukit Kayu Hitam yang belum pernah dinikmati selama ini. Dalam rekod kejayaan itu sudah tentu ia membawa risiko seperti yang kita hadapi pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kejadian yang berlaku kerana ia merupakan kes terpencil dan tidak melibatkan orang awam. Sebaliknya orang ramai boleh menggunakan kemudahan di Kompleks ICQS seperti biasa. – KOSMO! ONLINE














